Kentut Faraj: Apa yang anda perlu tahu

Bahasa: Bahasa Melayu



Kentut merupakan perkara biasa yang dialami setiap individu normal. Namun wujud satu lagi istilah lain dalam kalangan wanita iaitu, kentut faraj.

Apa itu kentut faraj?
Kentut faraj ialah satu keadaan di mana seseorang wanita terasa seperti ada angin keluar melalui vagina. Isu kentut faraj boleh mengganggu wanita apabila ia menimbulkan was-was dari segi ibadah solat dan ketidakselesaan semasa bersama pasangan. Isu yang mungkin tidak popular dibincangkan namun setiap wanita perlu cakna.


Bagaimana boleh berlaku?
Secara fisiologi, vagina merupakan satu tiub yang berotot dan berdinding membran yang menghubungkan pangkal rahim ke bukaan faraj. Kebiasaannya, udara akan masuk melalui kelopak besar (labia majora) sekiranya rahim anda dikatakan longgar.


Dari mana datangnya udara yang terperangkap?
1- Udara di sekeliling
Hal ini disebabkan otot-otot dinding vagina yang lemah. Kebiasaannya setelah wanita melalui proses melahirkan anak berulang kali. Udara boleh terperangkap apabila melakukan pergerakan seharian, atau aktiviti seksual.

2- Angin disebabkan fistula.
Masalah lubang penyambung di antara rektum dan vagina akibat pembedahan antara usus dan faraj. Masalah ini menyebabkan angin dari usus besar boleh memasuki faraj.


Adakah ibadah solat saya terbatal apabila keluar angin dari faraj?
Hukum wanita yang mengeluarkan angin / kentut melalui faraj (qubul) dan juga dubur adalah batal wuduknya berdasarkan dalil berikut,

عَنْ َعبَّادِ بْنِ تَمِيْمٍ عَنِ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لاَ يَنْصَرِفْ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتاً أَوْ يَجِدَ رِيْحاً

‘Abbad bin Tamim melaporkan daripada Nabi s.a.w yang berkata, “Jangan seseorang berpaling iaitu  solat sehingga ia mendengar bunyi kentutnya atau tercium baunya”.
Hadis direkodkan oleh Muslim dan Bukhari.

Berdasarkan hadis di atas, secara jelas Rasulullah memberitahu bahawa keluar angin boleh membatalkan solat. Oleh sebab itu, wanita yang mengalami masalah angin pada faraj disarankan mengambil langkah-langkah berikut;

  1. Berdehem selepas membuang air kecil.
  2. Membasuh kemaluan dengan sempurna.
  3. Mengelap faraj sehingga kering dan menutupi ruang kemaluan dengan tisu, kain atau menutupi ruang dengan rapat menggunakan tuala pelekat yang nipis dan bersih.
  4. Kemudian memakai seluar dalam yang kemas agar udara tidak boleh keluar masuk sebelum berwuduk dan menunaikan solat.



Bagaimana mengatasi masalah ini?
Pernah dengar senaman Kegel? Bunyinya agak janggal bagi sesetengah individu. Senaman Kegel juga dikenali sebagai senaman kemutan. Sesetengah orang mengatakan bahawa senaman ini hanyalah untuk mengetatkan alat sulit, tetapi sebenarnya manfaatnya lebih daripada itu! Senaman ini juga membantu mengurangkan masalah kentut faraj.

Caranya:

  1. Kenalpasti otot pelvis.
  2. Kemut otot tersebut seperti anda hendak menahan kencing. (AMARAN: Jangan lakukan langkah ini semasa terasa mahu kencing. Lakukan ketika pundi kencing anda kosong. Menahan kencing boleh menimbulkan masalah lain pula)
  3. Lakukan samada secara berdiri, duduk, atau berbaring.
  4. Setelah mendapatkan posisi selesa, tahan kemutan selama LAPAN hingga SEPULUH saat. Kemudian, lepaskan secara perlahan-lahan.
  5. Ulang sebanyak 3 hingga 4 kali.
  6. Lakukan secara berkala seperti 3 kali sehari

Tiada alasan untuk anda tidak melakukan kaedah ini. Ingat, tindakan awal boleh mengubah masa hadapan anda!

Nurfiza.AS



Rujukan:
1- Dr. Jen Gunter; Vaginal Wind. (2012). Retrieved on April 30, 2016 from https://drjengunter.wordpress.com/2012/06/04/vaginal-wind-whats-the-cause-of-queefing/

2- Ummu Abbas. Keluar Angin Melalui Faraj (Kentut Vagina). (2010). Retrieved on May 11, 2016 from  https://sayangislam.com/2010/01/27/keluar-angin-melalui-faraj-kentut-vagina/

3- Web Rapi; "Kemut" selalu untuk lebih sihat. (n.d.) Retieved on May 11, 2016 from http://www.karangkraf.com/gaya-hidup/kemut-selalu-untuk-lebih-sihat-1.176830
Share on Google Plus

About Nur Fiza

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment